Tuesday, March 20, 2012

Konsep 1Malaysia

Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak adalah satu konsep yang mempunyai matlamat,prinsip-prinsip, di samping nilai-nilai bagi menghadapi cabaran globalisasi dunia masa kini.Oleh yang demikian,konsep 1Malaysia diperkenalkan sebagai satu strategi negara dalam mengorak langkah seiring arus perkembangan dunia.

Menerusi konsep 1Malaysia ini,seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama dituntut agar bersama-sama bertindak menjadi satu bangsa,iaitu Bangsa Malaysia.Sebagai Bangsa Malaysia rakyat disaran agar berfikir dan bertindak ke arah matlamat yang sama dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan mempunyai keupayaan untuk bersaing dengan dunia luar.

"Rakyat Didahulukan,Pencapaian Diutamakan" merupakan tunjang kepada konsep 1Malaysia di mana ia bertujuan  untuk mempereratkan kerjasama dan hubungan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum bagi memastikan kita semua dapat bersama-sama mengharungi gelombang dunia yang penuh liku.Selain itu,pemimpin-pemimpin kerajaan disaran agar melaksanakan tugas dan amanah dengan lebih cekap dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

Menerusi konsep 1Malaysia ini kepentingan semua kaum adalah dititikberatkan.Ini bermakna semua kaum yang terdapat di Malaysia ini akan diberikan layanan dan faedah yang setara tanpa ada sebarang unsur diskriminasi.

Terdapat tiga prinsip utama yang menjadi teras kepada konsep 1Malaysia iaitu Prinsip Penerimaan,Prinsip Kenegaraan,dan Prinsip Keadilan Sosial.Prinsip Penerimaan bermaksud sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum di samping mempunyai budaya dan adat yang berbeza antara satu sama lain,namun kita semua menerima akan perbezaan tersebut.Prinsip Kenegaraan pula adalag berkaitan dengan konsep perpaduan,semangat nasionalisme dan perasaan cinta akan negara yang disemai ke dalam setiap individu.Manakala Prinsip Keadilan Sosial merangkumi aspek keadilan yang disalurkan dari segi kebajikan dan aspek-aspek sosial yang penting terhadap semua kaum di negara ini tanpa mengira kaum dan agama.

Lapan nilai penting yang digariskan dalam konsep 1Malaysia adalah terdiri daripada budaya kecemerlangan,ketabahan,rendah hati,penerimaan,kesetiaan,meritokrasi,pendidikan,dan integriti yang menjadi asas ke arah melahirkan rakyat Malaysia yang bersatu padu dan bertindak serta berfikir demi mencapai matlamat negara.

Kesimpulannya,konsep 1Malaysia merupakan satu idea yang menjadi asas kepada pengukuhan hubungan kaum di negara ini supaya lebih ampuh.Perpaduan merupakan kunci utama bagi menjamin keharmonian serta memajukan diri dan negara.Justeru,kejayaan pasti akan dicapai sekiranya konsep 1Malaysia ini dihayati dan diamalkan secara menyeluruh.



No comments:

Post a Comment