Wednesday, March 21, 2012

Kepentingan Ilmu..

Lautan luas bisa diseberangi, langit mega mampu direntasi apabila ilmu menjadi paksi..Ilmu amat luas tidak terhingga.Semakin kita mencari ilmu semakin banyak lagi ilmu yang tidak kita ketahui.Begitulah luasnya lapangan ilmu.
Dari segi etimologinya,perkataan ilmu dalam bahasa 
Arab “ilm” yang bermaksud mengetahui dan memahami.Ini bererti bahawa sesuatu bidang ilmu itu perlu dicari dan difahami.
Mencari ilmu tiada sempadannya,hanya maut sebagai noktahnya.Ilmu yang baik nescaya akan memberi manfaat bukan sahaja di dunia malah terus berkekalan sehingga ke Firdausi.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”
(al-Bazzar)

Daripada sabda Rasulullah s.a.w jelas menunjukkan betapa penting dan menjadi kewajipan setiap umat manusia menuntut ilmu.Bertepatanlah dengan perumpaan yang sering kita dengar iaitu ilmu itu ibarat pelita hidup.Pelita yang memberi sinar kepada kegelapan malam.Cahaya yang dapat menerangi segala kegelapan.
Ilmu yang dimiliki bukan untuk dijadikan tiket mendapatkan pangkat dan kedudukan serta kerja tetapi adalah untuk menjauhkan kita daripada kejahilan .Ini bermakna ilmu mampu menjadi perisai diri dalam melawan arus dunia yang kian mencabar.
Contohilah resmi padi ,semakin berisi semakin tunduk ke bumi.Ini melambangkan sifat rendah diri. Dan jangan sekali-kali menjadi seperti lalang,semakin tinggi semakin mendongak ke langit tanda keangkuhan.
Ilmu tidak ternilai berbanding harta.Emas segunung pasti akan habis tetapi ilmu sedikit nescaya tidak akan pernah habis selama-lamanya.Ilmu boleh diperturunkan dari generasi kepada generasi yang baharu.
Allah ada berfirman  yang bermaksud: Ingatlah bahawa setiap orang akan binasa melainkan orang yang berilmu, setiap orang yang berilmu akan binasa melainkan orang yang beramal dan setiap orang yang beramal akan binasa melainkan orang yang benar-benar ikhlas.   
(Surah Al-Baqarah ayat 235)
Selain itu kita patut mengambil pengajaran daripada nasihat Lukman Al-Hakim kepda anaknya supaya sentiasa mendampingi orang alim yakni orang yang berilmu dan menghadiri majlis-majlis ilmu.Hal ini kerana terdapat keberkatan yang yang dikurniakan Allah kepada hamba-hambaNya.
Di samping itu juga kita wajib menghormati orang yang berkongsi ilmu kepada kita. Walau satu ayat sekalipun ilmu yang disampaikan oleh mereka maka secara automatik mereka telah menjadi guru kepada kita.Hormatilah guru kita sebagaimana kita menghormati ibu bapa kita sendiri.
Akhir sekali apa yang dapat disarankan adalah kita semua mesti beramal dengan segala ilmu yang dipelajari supaya berguna kepada diri, masyarakat,dan Negara.Usah biarkan ilmu yang ditimba sekadar menjadi bonekadalam benak fikiran.Ilmu perlu dikongsi kerana perkongsian ilmu akan membenihkan percambahan ilmu dan memberi manfaat yang tidak terhitung nilainya.













Tuesday, March 20, 2012

Gelagat Dua Insan

Mengimbas kembali pengalamanku semasa berada dalam semester kelima pengajian di bumi permai Sintok ini.Hari itu merupakan hari pertama aku memasuki kelas Bahasa Arab II.Seperti kebiasaanya aku masuk lebih awal sebelum kelas bermula.Terdapat beberapa orang pelajar ketika itu bersama-sama menunggu saat tibanya waktu pembelajaran.Ketika sedang menunggu ketibaan guru terlintas di fikiranku,siapakah guru yang bakal mengajarku,lelaki atau perempuan,dan bagaimana perwatakannya.Persoalan yang biasa hadir saat pertama kali memasuki mana-mana kelas.

Tidak berapa lama kemudian,guru yang akan mengajarku kursus Bahasa Arab II sepanjang semester tersebut pun masuk ke dalam kelas.Sebaik sahaja aku melihat wajahnya aku terpaku seketika.Hal ini kerana wajahnya mengingatkan aku kepada seorang ustazah yang pernah mengajarku semasa aku masih di bangku sekolah.Berjubah,kulit yang cerah,dan bercermin mata,wajahnya persis ustazah yang pernah mengajarku di sekolah dahulu.

Seperti lazimnya pada hari pertama pembelajaran,guru yang akan mengajar memperkenalkan diri terlebih dahulu.Kami semua memanggilnya 'Ustazah'.Ketika itu lantas terlintas persoalan di fikiranku,adakah ustazah ini bersaudara dengan ustazah yang mengajarku dulu.Persoalan itu tidak terungkap kerana aku tidak mencari jawapannya.Hari itu berlalu begitu sahaja.

Hari berganti hari aku mengikuti kelasnya,aku dapati bukan sahaja wajah ustazah persis dengan ustazah sekolahku dulu tetapi aku mula sedar yang mereka berdua memiliki persamaan dari segi perwatakan,tutur bicara,dan santunnya.Persoalan menjadi kian kencang di benak fikiranku,mungkin mereka memang bersaudara,aku menduga.

Akhirnya pada satu hari selepas selesai sahaja kuliah Bahasa Arab untuk hari tersebut aku cuba ingin merungkai  segala persoalan yang telah sekian lama bersarang di mindaku ini."Ustazah ada tak kakak yang juga seorang ustazah yang mengajar di sekolah?"tanya aku kepada ustazah.Lantas ustazah pun memberitahuku bahawa memang dia mempunyai kakak namun kakaknya bukan lah bergelar Ustazah dan kakaknya tidak memiliki iras wajah yang serupa dengannya,lembut bicaranya menjelaskan kepadaku persoalan yang turut aku lontarkan kepada beliau sebelumnya.

Segala persoalan sudah terjawab akhirnya.Namun aku merasakan sesuatu yang istimewa kerana mereka berdua tidak mempunyai sebarang tali persaudaraan tetapi terlalu banyak persamaan antara mereka berdua.
Seringkali kita dengar bahawa di bumi Tuhan ni terdapat tujuh insan yang memiliki iras yang sama,justeru tidak hairanlah sekiranya kita terlihat orang yang seiras.Tetapi apa yang membuatkan aku berasa menarik ialah dua orang guruku ini bukan sahaja rupa tetapi penampilan,peribadi dan cara mereka yang juga hampir sama.Adakah ini suatu kebetulan ataupun suratan.

Namun apa yang lebih penting ialah kedua-dua insan mulia ini telah berjaya mengajar dan mendidikku sehingga aku beroleh keputusan yang cemerlang di samping pembentukan sahsiah diri yang baik.Aku bersyukur.Teladan dan cara pengajaran yang penuh hemah dan hikmah itulah yang kurasakan menjadi kunci kecemerlangan.Tidak perlu rotan menjadi guru kedua untuk membimbing.

Aku amat bersyukur kerana telah ditakdirkan untuk mendapat dua orang guru seperti mereka.Aku doakan kesejahteraan ke atas mereka di dunia dan juga akhirat.Semoga ilmu yang dicurahkan 
mereka kepadaku dan juga rakan-rakan menjadi bekalan amal yang 
tidak akan putus di alam sana.Amin..







Konsep 1Malaysia

Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak adalah satu konsep yang mempunyai matlamat,prinsip-prinsip, di samping nilai-nilai bagi menghadapi cabaran globalisasi dunia masa kini.Oleh yang demikian,konsep 1Malaysia diperkenalkan sebagai satu strategi negara dalam mengorak langkah seiring arus perkembangan dunia.

Menerusi konsep 1Malaysia ini,seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama dituntut agar bersama-sama bertindak menjadi satu bangsa,iaitu Bangsa Malaysia.Sebagai Bangsa Malaysia rakyat disaran agar berfikir dan bertindak ke arah matlamat yang sama dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan mempunyai keupayaan untuk bersaing dengan dunia luar.

"Rakyat Didahulukan,Pencapaian Diutamakan" merupakan tunjang kepada konsep 1Malaysia di mana ia bertujuan  untuk mempereratkan kerjasama dan hubungan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum bagi memastikan kita semua dapat bersama-sama mengharungi gelombang dunia yang penuh liku.Selain itu,pemimpin-pemimpin kerajaan disaran agar melaksanakan tugas dan amanah dengan lebih cekap dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

Menerusi konsep 1Malaysia ini kepentingan semua kaum adalah dititikberatkan.Ini bermakna semua kaum yang terdapat di Malaysia ini akan diberikan layanan dan faedah yang setara tanpa ada sebarang unsur diskriminasi.

Terdapat tiga prinsip utama yang menjadi teras kepada konsep 1Malaysia iaitu Prinsip Penerimaan,Prinsip Kenegaraan,dan Prinsip Keadilan Sosial.Prinsip Penerimaan bermaksud sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum di samping mempunyai budaya dan adat yang berbeza antara satu sama lain,namun kita semua menerima akan perbezaan tersebut.Prinsip Kenegaraan pula adalag berkaitan dengan konsep perpaduan,semangat nasionalisme dan perasaan cinta akan negara yang disemai ke dalam setiap individu.Manakala Prinsip Keadilan Sosial merangkumi aspek keadilan yang disalurkan dari segi kebajikan dan aspek-aspek sosial yang penting terhadap semua kaum di negara ini tanpa mengira kaum dan agama.

Lapan nilai penting yang digariskan dalam konsep 1Malaysia adalah terdiri daripada budaya kecemerlangan,ketabahan,rendah hati,penerimaan,kesetiaan,meritokrasi,pendidikan,dan integriti yang menjadi asas ke arah melahirkan rakyat Malaysia yang bersatu padu dan bertindak serta berfikir demi mencapai matlamat negara.

Kesimpulannya,konsep 1Malaysia merupakan satu idea yang menjadi asas kepada pengukuhan hubungan kaum di negara ini supaya lebih ampuh.Perpaduan merupakan kunci utama bagi menjamin keharmonian serta memajukan diri dan negara.Justeru,kejayaan pasti akan dicapai sekiranya konsep 1Malaysia ini dihayati dan diamalkan secara menyeluruh.



Saturday, March 3, 2012

Makna Universiti Dalam Kehidupan

Umum mengetahui bahawa universiti adalah merupakan institusi pendidikan tertinggi dalam tingkat pendidikan seseorang.Selain itu universiti juga sinonim dengan ungkapan menara gading dalam kalangan masyarakat di Malaysia khususnya.Universiti juga menjadi satu matlamat yang terpenting bagi kebanyakan orang.Setiap insan yang peka terhadap kepentingan ilmu pasti menanam hasrat untuk menjejakkan kaki ke universiti.
Universiti merupakan gedung ilmu bagi sesiapa yang mahu menimba ilmu.Pelbagai bidang yang disediakan oleh universiti kepada masyarakat.Antara bidang yang ditawarkan di universiti ialah seperti bidang pengurusan,perubatan,kesenian,sains,perniagaan, dan sebagainya.

Selari dengan perkembangan teknologi,universiti-universiti juga turut mengaplikasikan teknologi-teknologi moden dalam proses pendidikan dan pentadbirannya.Kini kita dapat lihat manusia mempunyai jaringan kemudahan pendidikan menerusi medium jarak jauh di mana penggunaan internet secara meluas dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Sebelum seseorang itu dianugerahkan segulung ijazah,seseorang itu perlu mengharungi hidup sebagai pelajar selama tiga atau empat tahun.Sudah tentu ia bukan lah sesuatu tugas yang mudah kerana ia memerlukan pengorbanan sebelum mencapai sesebuah kejayaan.Pelbagai ilmu yang akan dipelajari di universiti yang mana ia dapat meningkatkan kemahiran dan juga mematangkan seseorang itu.Pengalaman yang diperolehi di zaman universiti adalah amat berharga yang boleh dijadikan bekalan pada masa depan.

Oleh itu usaha dan pengorbanan haruslah dicurahkan semasa berada di universiti agar dapat mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan juga kecemerlangan sahsiah diri.

Sajak buat ayah.


Ayah..
Engkau seorang insan yang mulia
Seorang insan yang istimewa
Insan yang sangat ku kagumi
Akan sentiasa ayah di hati ini

Sungguh besar pengorbananmu
Kau tetap teguh demi anak-anakmu
Tidak pernah mengenal erti penat lelah
Demi membesarkan anak-anakmu
Apa saja sanggup kau lakukan

















Ayah..
Kini kau tiada lagi
Kau pergi menyahut seruan Ilahi
Sunguh berat hati ini untuk merelakan pemergianmu
Namun aku redha dengan suratan ini

Ayah..
Pemergianmu kian lama berlalu
Namun ingatanku terhadapmu semakin dalam
Rasa rindu untuk memelukmu
Rasa rindu untuk mencium tanganmu
Rasa untuk berbakti kepadamu
Tapi kau tiada lagi

Ayah..

Meski tiada segunung emas yang kau wariskan
Tetapi kau telah mewariskan sesuatu yang lebih berharga
Sesuatu yang lebih bercahaya daripada emas dan permata
Sesuatu yang boleh menerangi kegelapan
Didikan yang telah kau curahkan
Menjadi azimat ampuh untuk menempuh hari-hari mendatang


Ayah..
Anakmu kini telah berpijak ni menara gading
Tempat untukku menimba segala ilmu
Kini aku akan memikul bebanan sepertimu dulu
Suatu tanggungjawab yang amat besar bagiku
Namun aku yakin mampu memikulnya
Kerana ayah menjadi idolaku
Ku yakin kuat sepertimu ayah

Ayah..
Terima kasih atas segala pengorbananmu
Akan ku ingati pengorbananmu
Tidak akan pernah aku melupakan jasa-jasamu
Kau insan yang sangat ku sayang dunia dan akhirat

Ayah..
Kini anakmu hanya mampu mengutuskan doa buatmu
Damai lah engkau di sana
Anakmu bakal menyusulmu