Monday, June 4, 2012

PUISI-PUISI INDAH TENTANG KEHIDUPAN


Hidup adalah kurniaan, manfaatkan daripadanya.
Hidup itu indah, selamilah keindahannya.
Hidup adalah impian,capainya.

Hidup adalah satu cabaran,hadapinya.
Kehidupan adalah kewajipan,tunaikannya.
Hidup ini satu permainan,ikutlah rentaknya.
Hidup adalah suatu janji, laksanakannya.
Kehidupan adalah kesedihan, atasinya.
Hidup ibarat sebuah lagu,ikut lah melodinya.
Hidup adalah perjuangan, harunginya.
Kehidupan adalah pengembaraan, beranikanlah diri.
Hidup adalah bertuah,maknakannya.
Kehidupan adalah kehidupan. berjuanglah untuknya.

Memohon maaf;
tidak semestinya bermakna bahawa anda adalah salah dan orang lain yang betul.
ia bermakna bahawa anda menghargai hubungan anda lebih daripada ego anda.

Kehidupan bukan bermakna anda mencari siapa diri anda.
Kehidupan adalah tentang bagaimana anda membentuk diri sendiri.  


Lima prinsip untuk mencapai kebahagian:
1-bebaskan hati daripada kebencian.
2-bebaskan fikiran daripada kebimbangan
3-hidup berpada-pada
4-banyakkan menyumbang
5-tidak mengharap balasan.

Kita tidak mempunyai kuasa menentukan dari mana kita datang,
Tetapi kita boleh menentukan ke mana arah tuju yang ingin dituju.

Suatu hari nanti segalanya akan sempurna,
Oleh itu,sekarang ketawalah apabila menghadapi kekeliruan,
Senyumlah bersama lenangan air mata,
Dan ingatlah bahawasanaya setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya.

Keindahan hidup tidak semuanya dapat dilihat dengan mata,
Tetapi dapat dilihat dengan mata hati.

Tiga perkara yang tidak akan pernah kembali:masa,kata-kata dan kesempatan.
Tiga perkara yang tidak boleh hilang dalam kehidupan:kedamaian,harapan dan kejujuran.
Tiga perkara dalam hidup yang sangat bernilai:cinta,keyakinan diri dan sahabat.

Memaknakan ukhwah kekeluargaan
Ketawa&belajar
Berdoa&melindungi
Memohon maaf&menghargai
Impian&penemuan
Bergaduh&memaafkan
Memberi&menerima
Kepercayaan&rasa dimiliki
Kasih sayang&berpanjangan selama-lamanya...

Nikmatilah hidup anda hari ini ,
kerana kelmarin sudah berlalu,
dan esok mungkin tiada lagi.

Puisi indah yang sarat dengan mesej dalam membentuk peribadi dah sahsiah diri yang cantik,justeru hayatilah maksud dan mesej yang cuba disampaikan agar kecantikan akhlak dapat dipupuk dan hidup dengan penuh kedamaian...

MALU ITU CANTIK


           Kecantikan yang hakiki bukanlah dari pandangan manusia terhadap insan lain,namun kecantikan yang hakiki ialah cantiknya seorang insan itu di mata Sang PenciptaNya. Oleh yang demikian, malu merupakan salah satu sifat yang menyerlahkan kecantikan sebenar yang terdapat dalam diri individu. Apabila malu dijadikan asas dalam kehidupan maka terserlahlah kecantikan serta kemuliaanya di sisi Illahi.

Allah telah menjadikan rasa malu sebagai mahkota kemuliaan terhadap golongan hawa.Sifat malu inilah yang mencantikkan mereka namun dasawarsa ini kita dapat lihat ramai  kaum wanita sanggup menggadaikan harga diri apabila menanggalkan rasa malu pada diri seperti dalam aspek pemakaian dan pergaulan yang tidak berlandaskan syariat.

Dalam ajaran Islam jelas menekankan bahawasanya akhlak Islam itu adalah rasa malu.Malu dan iman itu bergerak seiring,jika salah satunya hilang maka akan hilanglah yang satu lagi.Oleh yang demikian kedudukan sifat malu berada pada kedudukan yang tinggi dan amat dituntut demi melahirkan muslimah yang cantik dan mulia. Rasa malu adalah mahkota kemuliaan bagi diri seorang wanita.

Namun pada zaman sekarang sifat malu pada wanita kian terhakis menjadikan hakikat penciptaan wanita sebagai perhiasan dunia dan kedudukan wanita pada kedudukan terpuji telah tidak bermakna lagi dengan perilaku wanita masa kini yang kian hancur.Pada masa kini banyak wanita yang rela menggadaikan rasa malu dan menuruti kehendak nafsu semata-mata dalam mengejar ganjaran dunia yang penuh dusta.
           
           Fitrah kejadian manusia itu sendiri adalah tidak sama antara lelaki dan perempuan dari segi fizikal dan mental.Allah menfitrahkan wanita itu dengan sifat malu untuk mencantikkan diri wanita itu sendiri,malangnya ramai wanita pada masa kini tidak menyedari akan fitrah kejadian mereka justeru melontar rasa malu dalam diri tanpa ada sebarang rasa penyesalan.
            
     Pada masa kini ramai wanita memilih untuk mendapat rasa hormat dari masyarakat dengan mempamerkan kecantikan yang ada pada paras rupa dan tubuh badan semata-mata.Mereka sanggup mengenepikan rasa malu demi mendapatkan mahkota kehormatan palsu dari sesama manusia sekaligus menjatuhkan martabat mereka sebagai hamba ciptaan Allah yang istimewa.Mereka lebih gemar mengejar mahkota yang bertatahkan intan dan permata dan menanggalkan rasa malu  sebagai sebaik-baik mahkota pada dirinya.
            
         Mereka tidak sedar bahawa kecantikan yang ada pada wajah dan tubuh mereka itu akan hilang apabila dimamah usia,apabila jasad telah disemadi tiada apa lagi yang dapat dibanggakan.Kecantikan rupa paras yang dibangga-banggakan tidak sedikitpun dapat memberi manfaat kepada mereka di sana kelak.Ketika itu sejuta penyesalan pun tidak berguna lagi kerana telah menanggalkan mahkota kemuliaan yang hakiki semasa berada di alam fana.
          
      Oleh yang demikian,sebagai nasihat dan seruan kepada golongan wanita supaya sentiasa memelihara rasa malu pada diri sebagai sebaik-baik perhiasan sebagai seorang wanita yang mulia dan dimuliakan sejajar dengan fitrah penciptaan wanita sebagai perhiasan dunia.Ketahuilah bahawasanya malu itu lebih berharga berbanding harta dunia seperti emas dan permata yang bisa dibeli dengan wang ringgit.Kembalilah ke jalan Tuhan dengan sepenuh kemuliaan dengan penuh rasa malu demi keimanan kepada Tuhan.



“Kecantikan luaran lebih bermakna pabila berpadu dengan kecantikan dalaman,
Kecantikan paras rupamu lebih bermakna pabila berpadu dengan kecantikan hatimu,
Tidak bermakna kecantikan wajahmu pabila tiada iman bertakhta di sanubarimu,
Tidak bermakna tubuhmu yang anggun pabila tiada rasa malu di nalurimu,
Cantikkanlah dirimu dengan Cahaya-Nya,cahaya yang terang memacu
kemuliaan,membenihkan iman dan taqwa kepada Sang Pencipta.”

Wednesday, May 23, 2012

Tanda Baca


Menggunakan tanda baca dengan betul.
DEFINISI TANDA BACA
Tanda baca merupakan simbol atau tanda yang digunakan untuk memberi isyarat atau pun petunjuk kepada pembaca agar melakukan sesuatu dalam bacaan.Di samping itu, tanda baca yang digunakan dalam sesuatu ayat diletakkan di tempat-tempat tertentu berdasarkan tujuan dan kesesuaiannya.

JENIS-JENIS TANDA BACA

1. TANDA NOKTAH ATAU TITIK ( . )
(a) Tanda noktah atau titik lazimnya digunakan pada akhir ayat yang bukan berbentuk ayat pertanyaan atau seruan. Contohnya:
            Baju ini baru dibeli.
            Esok Abu akan ke Jitra.
(b) Tanda noktah juga digunakan pada akhir singkatan nama orang. Contohnya:
            Y.B. (Yang Berhormat)
            Y.A.B. (Yang Amat Berhormat)
            En. (Encik)
            Pn. (Puan)
(c) Tanda noktah digunakan sebelum tanda penutup kata (") dalam cakap ajuk. Contohnya:
            Kata ibu, “Nasi itu sudah basi.”
(d) Tanda noktah digunakan di belakang angka atau nombor serta digunakan bagi menunjukkan angka perpuluhan. Contohnya:
            1.
           A.
           4.5, 50.5, 100.5



2. TANDA KOMA (,)
(a) Tanda koma digunakan bagi mengasingkan kata yang berturut-turut ataupun untuk memisahkan unsur-unsur dalam satu ayat. Contohnya:
           Emak membeli ayam,ikan, dan sayur.
           Abu, Ali, dan Amin pergi ke kelas.
           Baju itu berwarna hijau,biru, dan kuning.
(b) Tanda koma digunakan bagi menandakan tempat untuk berhenti sebentar. Contohnya:
           Berikan duit ini kepada adikmu,Abu.
(c) Tanda koma digunakan di belakang kata penghubung pada awal ayat. Contohnya:
           Oleh sebab itu,awak perlu menghadirkan diri.
           Maka, awak dijatuhkan hukuman.
(d) Tanda koma digunakan untuk memisahkan unsur-unsur dalam ayat yang berbeza-beza ataupun pada selepas kata hubung serta,dan,tetapi.Contohnya:
           Baju itu cantik,tetapi harganya mahal.
           Jika Ali datang, katakan saya ke kuliah.
(e) Tanda koma digunakan sebelum tanda pembuka kata (atribusi) (") dan penutup kata (") dalam cakap ajuk. Contohnya:
           Ali berkata,“Ini bukunya, Ahmad.”
          “Terima kasih,”jawab Ahmad.

3. TANDA TANYA (?)
(a) Tanda tanya digunakan pada akhir ayat tanya. Contohnya:
         Berapakah umur kamu?
(b) Tanda tanya digunakan pada akhir ayat tanya sebelum tanda penutup kata  ("). Contohnya:
         “Apa yang kamu beli?”tanya Ahmad.
                                                                                                                                                           
4. TANDA SERU (!)
(a) Tanda seru digunakan sesudah penyataan yang berbentuk seruan,perintah,atau rasa emosi yang kuat. Contohnya:
           Wah,besarnya rumah itu!
           Wah,sungguh biadap perbuatan kamu!
           Siapkan segera tugasan itu!
5.TANDA TITIK BERTINDIH (:)
(a) Tanda titik bertindih digunakan pada akhir sesuatu penyataan apabila diikuti oleh rangkaian. Contohnya:
           Peralatan yang perlu dibawa adalah seperti berikut:tali,lampu suluh,dan khemah.
(b) Tanda titik bertindih digunakan untuk memberi penjelasan atau memperkenalkan sesuatu. Contohnya:
            Tarikh:13 Mei 2012
            Masa:08.00 pagi
            Tempat:Dewan Bukit Kachi

6.TANDA KOMA BERTITIK (;)
(a) Tanda koma bertitik digunakan untuk memisahkan bahagian-bahagian ayat yang sejenis dan setara.Contohnya:
              Perutnya sakit;dia tidak mahu ke klinik.
(b) Tanda koma bertitik digunakan sebagai pemisah anak ayat dalam ayat majmuk. Contohnya:
Program itu disertai oleh pelajar dari beberapa universiti;ada yang dari Universiti Utara           Malaysia;ada yang dari Universiti Sains Malaysia;ada yang dari Universiti Malaya.
(c) Tanda koma bertitik digunakan pada baris pertama pantun dua kerat dan pada baris kedua pantun empat kerat. Contohnya:
             
              Ada ubi ada batas;
              Lain hari boleh balas.

              Kalau ada jarum patah,
              Jangan disimpan di dalam peti;
              Kalau ada silap dan salah,
              Jangan disimpan di dalam hati.



7.TANDA SEMPANG (-)
(a) Tanda sempang digunakan untuk menyambungkan kata yang diulang dan kata ganda. Contohnya:
           Kanak-kanak, lintang-pukang
(b) Tanda sempang digunakan selepas ke-dengan angka dan angka dengan-an.Contohnya:
           Kali yang ke-23
           Tahun 1980-an
(c) Tanda sempang digunakan untuk memisahkan huruf kecil daripada huruf besar. Contohnya:
           hamba-Nya
           sinar-X
(d) Tanda sempang digunakan untuk memisahkan angka yang berbeza fungsi. Contohnya:
            Nombor telefon: 04-7654321
            Nombor K.P: 850515-05-5555
8.TANDA PETIK ("...")
(a) Tanda petik digunakan untuk mengapit petikan langsung. Contohnya:
           “Saya belum mandi abang,”kata adik.
(b) Tanda petik digunakan pada rencana,karangan,novel,puisi, dan sebagainya. Contohnya:
           Novel “Ombak Rindu” memenangi tempat pertama.

9.TANDA PETIK TUNGGAL ('...')

(a)    Tanda petik tunggal digunakan untuk menunujukkan ungkapan yang sudah diapit oleh tanda petik (“…”). Contohnya:

“Sudah puas ibu menasihati adik tetapi segala nasihat ibu itu ‘seperti mencurahkan air di daun keladi’ saja,” kata ibu dengan nada yang kecewa.



10.TANDA PISAH ( _ )
(a) Tanda pisah digunakan untuk menunjukkan suatu perubahan mendadak pada pemikiran dalam satu ayat atau tanda berhenti. Contohnya:
            Saya yakin – jika saya diberi peluang – saya pasti Berjaya.
(b) Tanda pisah digunakan sebelum nama penulis pada akhir kutipan. Contohnya:
            “Sahabatku,dalam doa kusebut namamu.” - Mustafa Kamal
(c) Tanda pisah digunakan untuk menunjukkan urutan maklumat. Contohnya:
            -Warna biru
            -Model Proton
            -2000 cc
(d) Tanda pisah digunakan untuk menggantikan perkataan “hingga” atau “ke”. Contohnya:
 Januari – Disember
1957 – 2012                                                                                                                                 Changlun-Jitra











Tuesday, May 8, 2012

Kerjaya pilihan

Kerjaya yang menjadi pilihan saya ialah menjadi usahawan dalam bidang automotif.
Hal ini kerana saya sangat berminat dalam bidang permotoran.Saya bercita-cita ingin membangunkan sebuah pusat servis kenderaan di samping menjadi ejen penjual kereta.



Seperti umum sedia maklum pada masa kini persaingan hebat bagi menempatkan diri dalam sektor kerajaan contohnya.Oleh itu menceburi bidang perniagaan adalah merupakan satu alternatif yang baik untuk masa depan.Ia juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar penganguran dalam negara kita.

Di samping itu juga,bidang perniagaan merupakan bidang yang paling membuahkan hasil yang lumayan jika diusahakan dengan tekun.Walau bagaimanapun risiko tetap menanti dalam bidang perniagaan,oleh itu ilmu perlulah dicari dahulu sebelum memulakan sesuatu perniagaan agar perniagaan yang bakal dijalankan kelak dapat terus bertahan.



Jika berusaha bersungguh-sungguh saya yakin dapat mengembangkan sayap lebih luas dalam bidang ini.Di samping mencari rezeki yang halal untuk keluarga dan diri sendiri,kita juga dapat membuka peluang pekerjaan kepada orang lain.Oleh itu kita dapat melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat juga.

Selain itu juga,kita dapat meningkatkan ilmu pengetahuan di dalam bidang automotif masa kini yang kian canggih di samping mempelajari selok-belok ilmu perniagaan agar sesuatu perniagaan yang kita usahakan semakin berkembang dari masa ke semasa.

Tuesday, May 1, 2012

Tokoh idola saya

Tokoh yang menjadi idola saya ialah Mantan Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.Saya yakin dan percaya bahawa ramai lagi rakyat Malaysia yang menjadikan Dr Mahathir sebagai idola mereka.Beliau merupakan seorang yang sangat berkaliber dalam pemerintahan dan ternyata telah berjaya memacu Malaysia ke arah kejayaan.

Perdana Menteri Malaysia ke-4 ini yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang politik dan pentadbiran merupakan seorang Negarawan terulung negara kerana beliau merupakan seorang arkitek kepada pembangunan Malaysia.

Mula memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981 sehingga tahun 2003 menjadikan beliau seorang pemimpin yang paling lama menjadi Perdana Menteri Malaysia iaitu selama 22 tahun.Ternyata Malaysia berubah wajah secara drastik di bawah pemerintahan beliau.

Beliau merupakan seorang perintis ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 seperti yang termaktub dalam misi Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh beliau. Apa yang membuatkan saya menjadikan beliau sebagai idola ialah beliau mempunyai daya pemikiran yang menjangkau jauh ke hadapan.Di samping itu juga beliau mempunyai visi dan misi yang jelas untuk dicapai.Perkara seperti inilah wajar kita ambil sebagai contoh dan panduan dalam diri.



Saya rasa amat bersyukur dan berbangga kerana ditakdirkan mempunyai seorang pemimpin seperti beliau.Telah banyak pencapaian yang diperoleh Malaysia di peringkat antarabangsa di bawah naungan pemerintahan beliau.Daripada sebuah negara yang mundur telah berubah menjadi sebuah negara yang membangun dengan pesatnya.Dahulu jika disebut nama Malaysia mungkin masyarakat dunia tertanya-tanya di manakah Malaysia dan bermacam lagi persoalan yang timbul.Namun kini dengan kepesatan pembangunan Malaysia telah terkenal di seluruh dunia.Suatu pencapaian yang amat mengkagumkan bagi sebuah negara yang masih muda usianya.


Oleh yang demikian segala jasa dan pengorbanan yang telah beliau sumbangkan kepada agama, bangsa, dan negara wajarlah dihargai.Di samping itu juga,kita semua patut menteladani semua nilai-nilai yang baik yang ada pada diri Dr.Mahathir untuk dijadikan panduan dalam menempuh hari-hari mendatang.Semoga kita semua berjaya mencapai matlamat yang dicipta dan terus maju jaya. 

Monday, April 30, 2012

Makna Persahabatan


Persahabatan merupakan suatu hubungan yang terjalin antara individu dengan individu yang lain.Sahabat dan kawan seakan-akan serupa sahaja namun hakikatnya adalah berbeza.Kawan mudah dicari tetapi untuk mempunyai seorang sahabat amatlah sukar.Hal ini kerana kawan-kawan hanya akan bersama kita semasa senang sahaja namun seorang sahabat akan teguh bersama kita walau apa jua keadaan sekalipun,inilah yang dikatakan sebuah nilai persahabatan dalam erti kata yang sebenar-benarnya.


Persahabatan yang baik perlu mempunyai sikap saling hormat-menghormati,nasihat menasihati serta perlu ada kepercayaan yang utuh antara satu sama lain.Seorang sahabat rela berkorban apa sahaja demi sahabatnya tidak mengira harta,wang,tenaga,masa dan segala-galanya .Seorang sahabat tidak akan sekali-kali meninggalkan kita di saat kita dilanda kesusahan.Kegembiraan,keperitan akan dikongsi bersama, bak kata pepatah ringan sama dijinjing,berat sama dipikul.Ini lah erti persahabatan.

Surat Al-Ĥujurāt (The Rooms) - سورة الحجرات


49:13
Sahih International
O mankind, indeed We have created you from male and female and made you peoples and tribes that you may know one another. Indeed, the most noble of you in the sight of Allah is the most righteous of you. Indeed, Allah is Knowing and Acquainted.
Malay
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). 

Berdasarkan ayat ini amat jelas sekali menunjukkan kepada kita bahawa persahabatan merupakan sesuatu perkara yang amat dianjurkan oleh Allah s.w.t.Kita perlu memupuk nilai-nilai murni dalam menjalinkan hubungan persahabatan tanpa mengira perbezaan bangsa mahupun agama.  

Bagiku hidup tanpa seorang sahabat seumpama menaiki sampan tanpa pendayung,tidak tenggelam namun tiada arah tuju.Oleh itu
sahabat perlulah dicari,dan pupuklah nilai-nilai yang membenihkan
ukhwah persahabatan agar ia berkekalan sehingga hujung nyawa.

Wednesday, March 21, 2012

Kepentingan Ilmu..

Lautan luas bisa diseberangi, langit mega mampu direntasi apabila ilmu menjadi paksi..Ilmu amat luas tidak terhingga.Semakin kita mencari ilmu semakin banyak lagi ilmu yang tidak kita ketahui.Begitulah luasnya lapangan ilmu.
Dari segi etimologinya,perkataan ilmu dalam bahasa 
Arab “ilm” yang bermaksud mengetahui dan memahami.Ini bererti bahawa sesuatu bidang ilmu itu perlu dicari dan difahami.
Mencari ilmu tiada sempadannya,hanya maut sebagai noktahnya.Ilmu yang baik nescaya akan memberi manfaat bukan sahaja di dunia malah terus berkekalan sehingga ke Firdausi.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”
(al-Bazzar)

Daripada sabda Rasulullah s.a.w jelas menunjukkan betapa penting dan menjadi kewajipan setiap umat manusia menuntut ilmu.Bertepatanlah dengan perumpaan yang sering kita dengar iaitu ilmu itu ibarat pelita hidup.Pelita yang memberi sinar kepada kegelapan malam.Cahaya yang dapat menerangi segala kegelapan.
Ilmu yang dimiliki bukan untuk dijadikan tiket mendapatkan pangkat dan kedudukan serta kerja tetapi adalah untuk menjauhkan kita daripada kejahilan .Ini bermakna ilmu mampu menjadi perisai diri dalam melawan arus dunia yang kian mencabar.
Contohilah resmi padi ,semakin berisi semakin tunduk ke bumi.Ini melambangkan sifat rendah diri. Dan jangan sekali-kali menjadi seperti lalang,semakin tinggi semakin mendongak ke langit tanda keangkuhan.
Ilmu tidak ternilai berbanding harta.Emas segunung pasti akan habis tetapi ilmu sedikit nescaya tidak akan pernah habis selama-lamanya.Ilmu boleh diperturunkan dari generasi kepada generasi yang baharu.
Allah ada berfirman  yang bermaksud: Ingatlah bahawa setiap orang akan binasa melainkan orang yang berilmu, setiap orang yang berilmu akan binasa melainkan orang yang beramal dan setiap orang yang beramal akan binasa melainkan orang yang benar-benar ikhlas.   
(Surah Al-Baqarah ayat 235)
Selain itu kita patut mengambil pengajaran daripada nasihat Lukman Al-Hakim kepda anaknya supaya sentiasa mendampingi orang alim yakni orang yang berilmu dan menghadiri majlis-majlis ilmu.Hal ini kerana terdapat keberkatan yang yang dikurniakan Allah kepada hamba-hambaNya.
Di samping itu juga kita wajib menghormati orang yang berkongsi ilmu kepada kita. Walau satu ayat sekalipun ilmu yang disampaikan oleh mereka maka secara automatik mereka telah menjadi guru kepada kita.Hormatilah guru kita sebagaimana kita menghormati ibu bapa kita sendiri.
Akhir sekali apa yang dapat disarankan adalah kita semua mesti beramal dengan segala ilmu yang dipelajari supaya berguna kepada diri, masyarakat,dan Negara.Usah biarkan ilmu yang ditimba sekadar menjadi bonekadalam benak fikiran.Ilmu perlu dikongsi kerana perkongsian ilmu akan membenihkan percambahan ilmu dan memberi manfaat yang tidak terhitung nilainya.