Tuesday, May 1, 2012

Tokoh idola saya

Tokoh yang menjadi idola saya ialah Mantan Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.Saya yakin dan percaya bahawa ramai lagi rakyat Malaysia yang menjadikan Dr Mahathir sebagai idola mereka.Beliau merupakan seorang yang sangat berkaliber dalam pemerintahan dan ternyata telah berjaya memacu Malaysia ke arah kejayaan.

Perdana Menteri Malaysia ke-4 ini yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang politik dan pentadbiran merupakan seorang Negarawan terulung negara kerana beliau merupakan seorang arkitek kepada pembangunan Malaysia.

Mula memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981 sehingga tahun 2003 menjadikan beliau seorang pemimpin yang paling lama menjadi Perdana Menteri Malaysia iaitu selama 22 tahun.Ternyata Malaysia berubah wajah secara drastik di bawah pemerintahan beliau.

Beliau merupakan seorang perintis ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 seperti yang termaktub dalam misi Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh beliau. Apa yang membuatkan saya menjadikan beliau sebagai idola ialah beliau mempunyai daya pemikiran yang menjangkau jauh ke hadapan.Di samping itu juga beliau mempunyai visi dan misi yang jelas untuk dicapai.Perkara seperti inilah wajar kita ambil sebagai contoh dan panduan dalam diri.



Saya rasa amat bersyukur dan berbangga kerana ditakdirkan mempunyai seorang pemimpin seperti beliau.Telah banyak pencapaian yang diperoleh Malaysia di peringkat antarabangsa di bawah naungan pemerintahan beliau.Daripada sebuah negara yang mundur telah berubah menjadi sebuah negara yang membangun dengan pesatnya.Dahulu jika disebut nama Malaysia mungkin masyarakat dunia tertanya-tanya di manakah Malaysia dan bermacam lagi persoalan yang timbul.Namun kini dengan kepesatan pembangunan Malaysia telah terkenal di seluruh dunia.Suatu pencapaian yang amat mengkagumkan bagi sebuah negara yang masih muda usianya.


Oleh yang demikian segala jasa dan pengorbanan yang telah beliau sumbangkan kepada agama, bangsa, dan negara wajarlah dihargai.Di samping itu juga,kita semua patut menteladani semua nilai-nilai yang baik yang ada pada diri Dr.Mahathir untuk dijadikan panduan dalam menempuh hari-hari mendatang.Semoga kita semua berjaya mencapai matlamat yang dicipta dan terus maju jaya. 

No comments:

Post a Comment