Wednesday, May 23, 2012

Tanda Baca


Menggunakan tanda baca dengan betul.
DEFINISI TANDA BACA
Tanda baca merupakan simbol atau tanda yang digunakan untuk memberi isyarat atau pun petunjuk kepada pembaca agar melakukan sesuatu dalam bacaan.Di samping itu, tanda baca yang digunakan dalam sesuatu ayat diletakkan di tempat-tempat tertentu berdasarkan tujuan dan kesesuaiannya.

JENIS-JENIS TANDA BACA

1. TANDA NOKTAH ATAU TITIK ( . )
(a) Tanda noktah atau titik lazimnya digunakan pada akhir ayat yang bukan berbentuk ayat pertanyaan atau seruan. Contohnya:
            Baju ini baru dibeli.
            Esok Abu akan ke Jitra.
(b) Tanda noktah juga digunakan pada akhir singkatan nama orang. Contohnya:
            Y.B. (Yang Berhormat)
            Y.A.B. (Yang Amat Berhormat)
            En. (Encik)
            Pn. (Puan)
(c) Tanda noktah digunakan sebelum tanda penutup kata (") dalam cakap ajuk. Contohnya:
            Kata ibu, “Nasi itu sudah basi.”
(d) Tanda noktah digunakan di belakang angka atau nombor serta digunakan bagi menunjukkan angka perpuluhan. Contohnya:
            1.
           A.
           4.5, 50.5, 100.5



2. TANDA KOMA (,)
(a) Tanda koma digunakan bagi mengasingkan kata yang berturut-turut ataupun untuk memisahkan unsur-unsur dalam satu ayat. Contohnya:
           Emak membeli ayam,ikan, dan sayur.
           Abu, Ali, dan Amin pergi ke kelas.
           Baju itu berwarna hijau,biru, dan kuning.
(b) Tanda koma digunakan bagi menandakan tempat untuk berhenti sebentar. Contohnya:
           Berikan duit ini kepada adikmu,Abu.
(c) Tanda koma digunakan di belakang kata penghubung pada awal ayat. Contohnya:
           Oleh sebab itu,awak perlu menghadirkan diri.
           Maka, awak dijatuhkan hukuman.
(d) Tanda koma digunakan untuk memisahkan unsur-unsur dalam ayat yang berbeza-beza ataupun pada selepas kata hubung serta,dan,tetapi.Contohnya:
           Baju itu cantik,tetapi harganya mahal.
           Jika Ali datang, katakan saya ke kuliah.
(e) Tanda koma digunakan sebelum tanda pembuka kata (atribusi) (") dan penutup kata (") dalam cakap ajuk. Contohnya:
           Ali berkata,“Ini bukunya, Ahmad.”
          “Terima kasih,”jawab Ahmad.

3. TANDA TANYA (?)
(a) Tanda tanya digunakan pada akhir ayat tanya. Contohnya:
         Berapakah umur kamu?
(b) Tanda tanya digunakan pada akhir ayat tanya sebelum tanda penutup kata  ("). Contohnya:
         “Apa yang kamu beli?”tanya Ahmad.
                                                                                                                                                           
4. TANDA SERU (!)
(a) Tanda seru digunakan sesudah penyataan yang berbentuk seruan,perintah,atau rasa emosi yang kuat. Contohnya:
           Wah,besarnya rumah itu!
           Wah,sungguh biadap perbuatan kamu!
           Siapkan segera tugasan itu!
5.TANDA TITIK BERTINDIH (:)
(a) Tanda titik bertindih digunakan pada akhir sesuatu penyataan apabila diikuti oleh rangkaian. Contohnya:
           Peralatan yang perlu dibawa adalah seperti berikut:tali,lampu suluh,dan khemah.
(b) Tanda titik bertindih digunakan untuk memberi penjelasan atau memperkenalkan sesuatu. Contohnya:
            Tarikh:13 Mei 2012
            Masa:08.00 pagi
            Tempat:Dewan Bukit Kachi

6.TANDA KOMA BERTITIK (;)
(a) Tanda koma bertitik digunakan untuk memisahkan bahagian-bahagian ayat yang sejenis dan setara.Contohnya:
              Perutnya sakit;dia tidak mahu ke klinik.
(b) Tanda koma bertitik digunakan sebagai pemisah anak ayat dalam ayat majmuk. Contohnya:
Program itu disertai oleh pelajar dari beberapa universiti;ada yang dari Universiti Utara           Malaysia;ada yang dari Universiti Sains Malaysia;ada yang dari Universiti Malaya.
(c) Tanda koma bertitik digunakan pada baris pertama pantun dua kerat dan pada baris kedua pantun empat kerat. Contohnya:
             
              Ada ubi ada batas;
              Lain hari boleh balas.

              Kalau ada jarum patah,
              Jangan disimpan di dalam peti;
              Kalau ada silap dan salah,
              Jangan disimpan di dalam hati.



7.TANDA SEMPANG (-)
(a) Tanda sempang digunakan untuk menyambungkan kata yang diulang dan kata ganda. Contohnya:
           Kanak-kanak, lintang-pukang
(b) Tanda sempang digunakan selepas ke-dengan angka dan angka dengan-an.Contohnya:
           Kali yang ke-23
           Tahun 1980-an
(c) Tanda sempang digunakan untuk memisahkan huruf kecil daripada huruf besar. Contohnya:
           hamba-Nya
           sinar-X
(d) Tanda sempang digunakan untuk memisahkan angka yang berbeza fungsi. Contohnya:
            Nombor telefon: 04-7654321
            Nombor K.P: 850515-05-5555
8.TANDA PETIK ("...")
(a) Tanda petik digunakan untuk mengapit petikan langsung. Contohnya:
           “Saya belum mandi abang,”kata adik.
(b) Tanda petik digunakan pada rencana,karangan,novel,puisi, dan sebagainya. Contohnya:
           Novel “Ombak Rindu” memenangi tempat pertama.

9.TANDA PETIK TUNGGAL ('...')

(a)    Tanda petik tunggal digunakan untuk menunujukkan ungkapan yang sudah diapit oleh tanda petik (“…”). Contohnya:

“Sudah puas ibu menasihati adik tetapi segala nasihat ibu itu ‘seperti mencurahkan air di daun keladi’ saja,” kata ibu dengan nada yang kecewa.



10.TANDA PISAH ( _ )
(a) Tanda pisah digunakan untuk menunjukkan suatu perubahan mendadak pada pemikiran dalam satu ayat atau tanda berhenti. Contohnya:
            Saya yakin – jika saya diberi peluang – saya pasti Berjaya.
(b) Tanda pisah digunakan sebelum nama penulis pada akhir kutipan. Contohnya:
            “Sahabatku,dalam doa kusebut namamu.” - Mustafa Kamal
(c) Tanda pisah digunakan untuk menunjukkan urutan maklumat. Contohnya:
            -Warna biru
            -Model Proton
            -2000 cc
(d) Tanda pisah digunakan untuk menggantikan perkataan “hingga” atau “ke”. Contohnya:
 Januari – Disember
1957 – 2012                                                                                                                                 Changlun-Jitra











Tuesday, May 8, 2012

Kerjaya pilihan

Kerjaya yang menjadi pilihan saya ialah menjadi usahawan dalam bidang automotif.
Hal ini kerana saya sangat berminat dalam bidang permotoran.Saya bercita-cita ingin membangunkan sebuah pusat servis kenderaan di samping menjadi ejen penjual kereta.



Seperti umum sedia maklum pada masa kini persaingan hebat bagi menempatkan diri dalam sektor kerajaan contohnya.Oleh itu menceburi bidang perniagaan adalah merupakan satu alternatif yang baik untuk masa depan.Ia juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar penganguran dalam negara kita.

Di samping itu juga,bidang perniagaan merupakan bidang yang paling membuahkan hasil yang lumayan jika diusahakan dengan tekun.Walau bagaimanapun risiko tetap menanti dalam bidang perniagaan,oleh itu ilmu perlulah dicari dahulu sebelum memulakan sesuatu perniagaan agar perniagaan yang bakal dijalankan kelak dapat terus bertahan.



Jika berusaha bersungguh-sungguh saya yakin dapat mengembangkan sayap lebih luas dalam bidang ini.Di samping mencari rezeki yang halal untuk keluarga dan diri sendiri,kita juga dapat membuka peluang pekerjaan kepada orang lain.Oleh itu kita dapat melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat juga.

Selain itu juga,kita dapat meningkatkan ilmu pengetahuan di dalam bidang automotif masa kini yang kian canggih di samping mempelajari selok-belok ilmu perniagaan agar sesuatu perniagaan yang kita usahakan semakin berkembang dari masa ke semasa.

Tuesday, May 1, 2012

Tokoh idola saya

Tokoh yang menjadi idola saya ialah Mantan Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.Saya yakin dan percaya bahawa ramai lagi rakyat Malaysia yang menjadikan Dr Mahathir sebagai idola mereka.Beliau merupakan seorang yang sangat berkaliber dalam pemerintahan dan ternyata telah berjaya memacu Malaysia ke arah kejayaan.

Perdana Menteri Malaysia ke-4 ini yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang politik dan pentadbiran merupakan seorang Negarawan terulung negara kerana beliau merupakan seorang arkitek kepada pembangunan Malaysia.

Mula memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981 sehingga tahun 2003 menjadikan beliau seorang pemimpin yang paling lama menjadi Perdana Menteri Malaysia iaitu selama 22 tahun.Ternyata Malaysia berubah wajah secara drastik di bawah pemerintahan beliau.

Beliau merupakan seorang perintis ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 seperti yang termaktub dalam misi Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh beliau. Apa yang membuatkan saya menjadikan beliau sebagai idola ialah beliau mempunyai daya pemikiran yang menjangkau jauh ke hadapan.Di samping itu juga beliau mempunyai visi dan misi yang jelas untuk dicapai.Perkara seperti inilah wajar kita ambil sebagai contoh dan panduan dalam diri.



Saya rasa amat bersyukur dan berbangga kerana ditakdirkan mempunyai seorang pemimpin seperti beliau.Telah banyak pencapaian yang diperoleh Malaysia di peringkat antarabangsa di bawah naungan pemerintahan beliau.Daripada sebuah negara yang mundur telah berubah menjadi sebuah negara yang membangun dengan pesatnya.Dahulu jika disebut nama Malaysia mungkin masyarakat dunia tertanya-tanya di manakah Malaysia dan bermacam lagi persoalan yang timbul.Namun kini dengan kepesatan pembangunan Malaysia telah terkenal di seluruh dunia.Suatu pencapaian yang amat mengkagumkan bagi sebuah negara yang masih muda usianya.


Oleh yang demikian segala jasa dan pengorbanan yang telah beliau sumbangkan kepada agama, bangsa, dan negara wajarlah dihargai.Di samping itu juga,kita semua patut menteladani semua nilai-nilai yang baik yang ada pada diri Dr.Mahathir untuk dijadikan panduan dalam menempuh hari-hari mendatang.Semoga kita semua berjaya mencapai matlamat yang dicipta dan terus maju jaya.