Monday, June 4, 2012

MALU ITU CANTIK


           Kecantikan yang hakiki bukanlah dari pandangan manusia terhadap insan lain,namun kecantikan yang hakiki ialah cantiknya seorang insan itu di mata Sang PenciptaNya. Oleh yang demikian, malu merupakan salah satu sifat yang menyerlahkan kecantikan sebenar yang terdapat dalam diri individu. Apabila malu dijadikan asas dalam kehidupan maka terserlahlah kecantikan serta kemuliaanya di sisi Illahi.

Allah telah menjadikan rasa malu sebagai mahkota kemuliaan terhadap golongan hawa.Sifat malu inilah yang mencantikkan mereka namun dasawarsa ini kita dapat lihat ramai  kaum wanita sanggup menggadaikan harga diri apabila menanggalkan rasa malu pada diri seperti dalam aspek pemakaian dan pergaulan yang tidak berlandaskan syariat.

Dalam ajaran Islam jelas menekankan bahawasanya akhlak Islam itu adalah rasa malu.Malu dan iman itu bergerak seiring,jika salah satunya hilang maka akan hilanglah yang satu lagi.Oleh yang demikian kedudukan sifat malu berada pada kedudukan yang tinggi dan amat dituntut demi melahirkan muslimah yang cantik dan mulia. Rasa malu adalah mahkota kemuliaan bagi diri seorang wanita.

Namun pada zaman sekarang sifat malu pada wanita kian terhakis menjadikan hakikat penciptaan wanita sebagai perhiasan dunia dan kedudukan wanita pada kedudukan terpuji telah tidak bermakna lagi dengan perilaku wanita masa kini yang kian hancur.Pada masa kini banyak wanita yang rela menggadaikan rasa malu dan menuruti kehendak nafsu semata-mata dalam mengejar ganjaran dunia yang penuh dusta.
           
           Fitrah kejadian manusia itu sendiri adalah tidak sama antara lelaki dan perempuan dari segi fizikal dan mental.Allah menfitrahkan wanita itu dengan sifat malu untuk mencantikkan diri wanita itu sendiri,malangnya ramai wanita pada masa kini tidak menyedari akan fitrah kejadian mereka justeru melontar rasa malu dalam diri tanpa ada sebarang rasa penyesalan.
            
     Pada masa kini ramai wanita memilih untuk mendapat rasa hormat dari masyarakat dengan mempamerkan kecantikan yang ada pada paras rupa dan tubuh badan semata-mata.Mereka sanggup mengenepikan rasa malu demi mendapatkan mahkota kehormatan palsu dari sesama manusia sekaligus menjatuhkan martabat mereka sebagai hamba ciptaan Allah yang istimewa.Mereka lebih gemar mengejar mahkota yang bertatahkan intan dan permata dan menanggalkan rasa malu  sebagai sebaik-baik mahkota pada dirinya.
            
         Mereka tidak sedar bahawa kecantikan yang ada pada wajah dan tubuh mereka itu akan hilang apabila dimamah usia,apabila jasad telah disemadi tiada apa lagi yang dapat dibanggakan.Kecantikan rupa paras yang dibangga-banggakan tidak sedikitpun dapat memberi manfaat kepada mereka di sana kelak.Ketika itu sejuta penyesalan pun tidak berguna lagi kerana telah menanggalkan mahkota kemuliaan yang hakiki semasa berada di alam fana.
          
      Oleh yang demikian,sebagai nasihat dan seruan kepada golongan wanita supaya sentiasa memelihara rasa malu pada diri sebagai sebaik-baik perhiasan sebagai seorang wanita yang mulia dan dimuliakan sejajar dengan fitrah penciptaan wanita sebagai perhiasan dunia.Ketahuilah bahawasanya malu itu lebih berharga berbanding harta dunia seperti emas dan permata yang bisa dibeli dengan wang ringgit.Kembalilah ke jalan Tuhan dengan sepenuh kemuliaan dengan penuh rasa malu demi keimanan kepada Tuhan.



“Kecantikan luaran lebih bermakna pabila berpadu dengan kecantikan dalaman,
Kecantikan paras rupamu lebih bermakna pabila berpadu dengan kecantikan hatimu,
Tidak bermakna kecantikan wajahmu pabila tiada iman bertakhta di sanubarimu,
Tidak bermakna tubuhmu yang anggun pabila tiada rasa malu di nalurimu,
Cantikkanlah dirimu dengan Cahaya-Nya,cahaya yang terang memacu
kemuliaan,membenihkan iman dan taqwa kepada Sang Pencipta.”

No comments:

Post a Comment