Tuesday, March 20, 2012

Gelagat Dua Insan

Mengimbas kembali pengalamanku semasa berada dalam semester kelima pengajian di bumi permai Sintok ini.Hari itu merupakan hari pertama aku memasuki kelas Bahasa Arab II.Seperti kebiasaanya aku masuk lebih awal sebelum kelas bermula.Terdapat beberapa orang pelajar ketika itu bersama-sama menunggu saat tibanya waktu pembelajaran.Ketika sedang menunggu ketibaan guru terlintas di fikiranku,siapakah guru yang bakal mengajarku,lelaki atau perempuan,dan bagaimana perwatakannya.Persoalan yang biasa hadir saat pertama kali memasuki mana-mana kelas.

Tidak berapa lama kemudian,guru yang akan mengajarku kursus Bahasa Arab II sepanjang semester tersebut pun masuk ke dalam kelas.Sebaik sahaja aku melihat wajahnya aku terpaku seketika.Hal ini kerana wajahnya mengingatkan aku kepada seorang ustazah yang pernah mengajarku semasa aku masih di bangku sekolah.Berjubah,kulit yang cerah,dan bercermin mata,wajahnya persis ustazah yang pernah mengajarku di sekolah dahulu.

Seperti lazimnya pada hari pertama pembelajaran,guru yang akan mengajar memperkenalkan diri terlebih dahulu.Kami semua memanggilnya 'Ustazah'.Ketika itu lantas terlintas persoalan di fikiranku,adakah ustazah ini bersaudara dengan ustazah yang mengajarku dulu.Persoalan itu tidak terungkap kerana aku tidak mencari jawapannya.Hari itu berlalu begitu sahaja.

Hari berganti hari aku mengikuti kelasnya,aku dapati bukan sahaja wajah ustazah persis dengan ustazah sekolahku dulu tetapi aku mula sedar yang mereka berdua memiliki persamaan dari segi perwatakan,tutur bicara,dan santunnya.Persoalan menjadi kian kencang di benak fikiranku,mungkin mereka memang bersaudara,aku menduga.

Akhirnya pada satu hari selepas selesai sahaja kuliah Bahasa Arab untuk hari tersebut aku cuba ingin merungkai  segala persoalan yang telah sekian lama bersarang di mindaku ini."Ustazah ada tak kakak yang juga seorang ustazah yang mengajar di sekolah?"tanya aku kepada ustazah.Lantas ustazah pun memberitahuku bahawa memang dia mempunyai kakak namun kakaknya bukan lah bergelar Ustazah dan kakaknya tidak memiliki iras wajah yang serupa dengannya,lembut bicaranya menjelaskan kepadaku persoalan yang turut aku lontarkan kepada beliau sebelumnya.

Segala persoalan sudah terjawab akhirnya.Namun aku merasakan sesuatu yang istimewa kerana mereka berdua tidak mempunyai sebarang tali persaudaraan tetapi terlalu banyak persamaan antara mereka berdua.
Seringkali kita dengar bahawa di bumi Tuhan ni terdapat tujuh insan yang memiliki iras yang sama,justeru tidak hairanlah sekiranya kita terlihat orang yang seiras.Tetapi apa yang membuatkan aku berasa menarik ialah dua orang guruku ini bukan sahaja rupa tetapi penampilan,peribadi dan cara mereka yang juga hampir sama.Adakah ini suatu kebetulan ataupun suratan.

Namun apa yang lebih penting ialah kedua-dua insan mulia ini telah berjaya mengajar dan mendidikku sehingga aku beroleh keputusan yang cemerlang di samping pembentukan sahsiah diri yang baik.Aku bersyukur.Teladan dan cara pengajaran yang penuh hemah dan hikmah itulah yang kurasakan menjadi kunci kecemerlangan.Tidak perlu rotan menjadi guru kedua untuk membimbing.

Aku amat bersyukur kerana telah ditakdirkan untuk mendapat dua orang guru seperti mereka.Aku doakan kesejahteraan ke atas mereka di dunia dan juga akhirat.Semoga ilmu yang dicurahkan 
mereka kepadaku dan juga rakan-rakan menjadi bekalan amal yang 
tidak akan putus di alam sana.Amin..







No comments:

Post a Comment